Sunday, March 16, 2008

KEMBALI KEPADA FITRAH

Salam kasih sayang,
Saudaraku, kita dijadikan tidak sia-sia, kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa jua yang kita lakukan. Kita berhak memilih untuk mengubah apa yang kita 'mahukan'. Setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah berpunca dari diri kita sendiri dan 'orang-orang' di sekeliling kita. Oleh itu kita sebenarnya saling memerlukan, saling bergantung untuk 'membina kehidupan' yang sejahtera. 'Bersama bersatu minda membina GELOMBANG KESEJAHTERAAN SEJAGAT'. Semoga diberkati. Amin...

Tuesday, March 4, 2008

KEBENARAN ATAU IKUTAN?

Salam kasih sayang,

Kita sebagai umat Islam, diwajibkan menuntut ilmu, sebagaimana yang selalu kita dengar "tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahat" (kita sebenarnya sudah diajar sejak dari dalam kandungan lagi).

Kita diajar, kita belajar hingga lulus(pandai) tapi kenapa kebanyakan kita seperti orang yang tidak belajar? Seperti tiada beza antara kita umat Islam dengan yang bukan Islam? Di mana silapnya?...

Dari awal lagi sebenarnya ramai yang sudah silap;
Pertama, niat(tujuan):-
Bagaimana niat yang ditanamkan oleh ibu bapa, guru-guru dan uztaz ustazah kita? Belajar kerana Allah atau kerana sijil?

Kedua, kepercayaan(tanggapan):-
"Belajar biar berguru, jika tidak, akan bergurukan syaitan...". Bukankah sepatutnya kita "berguru hanya kepada Allah", walau apa pun ilmu yang kita pelajari, hanya kepada Allah kita mohon petunjuk dan pemahaman. Guru dan buku atau apa sahaja, sekadar alat, atau cara Allah mengurniakan ilmu kepada kita.

Ketiga, pelaziman(amalan):-
Bermula dengan amalan pemikiran(minda), apa yang disarankan untuk kita fikirkan setiap kali belajar ilmu baru? Bukankah sepatutnya kita beristighfar, bersyukur, mengamal dan menyampaikan.

Untuk berubah kita mesti bermula dengan ubah cara kita berfikir dahulu. Buat pelaziman baru tentang cara berfikir kita. Secara perlahan perubahan akan pasti berlaku, hingga kadang-kadang sesuatu yang langsung tidak terduga. Bersyukurlah walau apa pun yang berlaku dengan keyakinan Allah akan sentiasa memberi yang lebih baik selalu.

Bersabar dengan ujianNya, kerana sesuatu yang baik mesti diuji.
Kejayaan dan kebenaran milik orang yang beriman dan sabar.

Syukur. Taufik dan hidayah bagi kita semua. Amin
Semoga diberkati. Amin...

Monday, February 25, 2008

ILMU YANG BERKESAN

Salam kasih sayang,

Ramai orang yang belajar, ramai juga orang yang berilmu, separuh daripadanya yang beramal dari ilmunya, tetapi sedikit sahaja yang mendapat manfaat dari ilmunya.
Malah lebih malang lagi ada yang mendapat masalah atau musibah dari ilmunya. Kenapa ia berlaku? Banyak rahsia yang tersirat yang tidak mampu dijangkau oleh akal sedar semata-mata. Maka itu kita perlu akur, sabar patuh dan redha dengan hukum-hakam dan tuntunan dari Al-Quran dan Hadis dengan berlapang dada dan pasrah secara total sehingga merasai nikmat 'ketenangan'.

Bagi memperoleh ilmu yang bermanfaat, setiap kali belajar dan mendapat ilmu baru harus bermula dengan perasaan 'hairan', 'faham', 'yakin', 'syukur', 'amal' dan 'sampaikan' serta 'sabar'. Hasilnya amat 'menakjubkan' dan sememangnya patut menambah 'taqwa' kita sebagai hamba Allah.

Semoga diberkati. Amin...

Wednesday, February 20, 2008

BERSYUKUR RAHSIA KEJAYAAN

Salam kasih sayang,

Bersyukurlah sentiasa, setiap masa, setiap selepas memberi atau menerima sesuatu, setiap selepas melakukan atau mencapai sesuatu, setiap selepas belajar atau mengajar sesuatu. Pendek kata bila-bila masa sahaja.

Bersyukur mesti dengan perasaan, penghayatan dan pembuktian melalui tindakan.
Bila mendapat sesuatu yang diinginkan dan menggembirakan, buatlah solat dan sujud syukur, bersedekah dan beramal soleh.

Bila mendapat sesuatu tidak seperti yang diinginkan atau musibah, carilah walau sedikit pun kebaikan bersyukurlah dengan niat Allah kurniakan atau gantikan dengan yang lebih baik lagi.
Bila melihat orang lain berjaya, bersyukurlah dan pujilah ia sememangnya lebih baik dari kita, sekarang kita telah dapat petunjuk untuk kita juga boleh berjaya.
Bila melihat keburukan atau musibah orang lain, bersyukurlah kita dikurniakan kelebihan doakan dan bantu mereka sebagaimana sepatutnya, kerana ada hak orang lain di atas kelebihan kita.

Bila kita sentiasa bersyukur, segala sifat-sifat buruk dengan sendirinya akan hilang. Tiada lagi marah, dendam, sedih, kecewa dan putus asa, digantikan dengan rasa tenang, gembira, bersemangat dan bahagia.

Semoga diberkati. Amin...

Tuesday, February 12, 2008

SEGALANYA MUDAH

Salam kasih sayang,

Segalanya memang mudah, segalanya sudah disediakan panduan, peraturan, hukum hakam dan ilmu yang amat luas tiada batasan bagi mencari cara dan petunjuk jalannya. Jadi apa masalahnya?... Masalahnya kita yang degil sehingga terhasut oleh syaitan yang sememangnya telah bersumpah untuk menggoda anak Adam.

Sebab itu kita perlu mematuhi segala suruhan Tuhan dan ajaran Rasullullah agar kita terselamat dari bisikan dan tipu daya syaitan yang akhirnya membawa kepada keingkaran, kedegilan, kemungkaran, pelanggaran hukum dan kemusnahan.

Jalan selamat, jalan mudah, jalan bahagia dan membahagiakan sudah disediakan. Tenangkan minda, gunakan akal yang waras mulakan seberapa terdaya, bina pelaziman baru berpandukan Surah Al-'Asr. Biar kecil amalan baik tapi dilazimkan ditambah sedikit-sedikit ilmu dan amal, akhirnya tiada yang sukar, tiada 'masalah' yang menjadi masalah lagi.

Sertailah kumpulan(Jemaah) yang jelas kebenaran dan wawasannya. Kita akan lebih selamat, kuat, mudah apabila berkumpulan. Kita sememangnya patut menjadi ahli kumpulan dan dalam masa sama sentiasa mengajak orang lain menyertai kumpulan agar kita semakin selamat dan kuat.

Semoga diberkati. Amin...

Friday, February 8, 2008

KITA SEMUA ADA TUGAS

Salam kasih sayang,

"Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu"... Kita semua ada tanggungjawab yang sama. Namun Allah Maha adil, bijaksana dan Maha segala-galanya. Kita diberi kebebasan memilih, diberi perasaan, kesukaan yang berbeza-beza. Disediakan terlalu banyak 'pilihan' sehingga apa sahaja yang kita fikirkan ia boleh menjadi kenyataan, asalkan kita benar-benar berusaha belajar dan mencari caranya yang Allah telah sediakan. Terpulang kepada kita memilih cara yang kita mahu.

Kita patut bersyukur kerana Allah juga telah memberi garis panduan cara yang betul, selamat dan menyenangkan. Segala masalah, kesusahan, kesengsaraan dan kemusnahan adalah disebabkan kedegilan, kesombongan dan kerakusan manusia yang ingkar perintahnya.

Kita sebenarnya boleh mencapai apa juga impian dengan lebih gembira dan bahagia, jika kita patuh redha dan bersenang hati serta berlapang dada melalukan sesuatu berasaskan ilmu kebenaran semata-mata kerana Allah. "Jika kita kejar dunia, dunia akan lari dari kita, jika kita kejar akhirat, kita pasti akan dapat kedua-duanya..."
Jadi apa masalahnya?....
Masalahnya satu sahaja, kita hanya belajar "ILMU YANG MATI", ilmu yang tiada 'roh'(tiada hidayah)hati was-was, hasilnya tidak menambahkan iman, tiada keberkatan kesannya tidak akan membawa kesejahteraan malah banyak mendatangkan kesan negatif dan kerosakan.

Mari kita kembali ke jalan yang benar, bermula dengan perkemaskan 'niat', yakinlah kita sememangnya mampu mencapai segala 'impian' melalui jalan yang Allah redhai.

Semoga diberkati. Amin...

Friday, January 25, 2008

TIADA YANG MUSTAHIL

Salam kasih sayang,

Setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah berpunca dari diri kita sendiri dan 'orang-orang' di sekeliling kita. Oleh itu kita sebenarnya saling memerlukan, saling bergantung untuk 'membina kehidupan' yang sejahtera. 'Bersama bersatu minda membina GELOMBANG KESEJAHTERAAN SEJAGAT'. Segala yang ada di bumi dan di langit serta segala isinya bergerak mengikut ketetapan Allah kecuali MANUSIA , Allah kurniakan AKAL dan kebebasan memilih, sebab itu kita dipertanggungjawabkan atas jalan yang kita pilih. Sebenarnya 'ketetapan' dan patuhnya segala isi alam pada 'ketetapan' Allah, memudahkan(anugerah agung) manusia yang mahu berfikir(menguasai dan mentadbir alam, bukan dikuasai dan memusnahkan alam).

Kita sebagai manusia patut(mesti) bersatu, bermuafakat ke arah kesejahteraan hidup sihat, kaya dan bahagia…(dunia dan akhirat).
Saudaraku, kita dijadikan tidak sia-sia, kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa jua yang kita lakukan. Kita berhak memilih untuk mengubah ke arah apa yang kita 'mahukan'.

Semoga diberkati. Amin...